Mar 11, 2009

Wan Ismail bangkit selepas kecundang pilihan raya 2004

Bermula kerjaya sebagai pensyarah kini berkhidmat sepenuh masa kepada rakyat. Pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan pada 1993-1995.




Beliau makin dikenali selepas berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan tahun 1995 - 1999.


Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, 54 kini juga Yang Dipertua PAS Ketereh. Beliau menerajui kawasan itu sejak 1997.


Berkelulusan sarjana dalam bidang komunikasi pada 1993 daripada Universiti Putra Malaysia. Sebelum kembali ke Kelantan, bertugas sebagai pensyarah di UiTM, Shah Alam.
Isterinya Nurizan Yusuf, 48 bertugas sebagai pensyarah di UiTM Cawangan Kelantan di Machang.


Mempunyai lima anak yang berjaya dalam bidang akademik. Wan Abdul Falah, 24 belajar di Cape Town Afrika Selatan, Wan Nur Fatihah, 21 (UiTM), Wan Nurul Aiman, 20 belajar bidang perubatan di Universiti A'isam Kaherah Mesir.


Wan Nur Aliya, 19 (UiTM) dan Wan Abdul Hakim, 17 pelajar di Maahad Tahfiz Wal-Qiraat Pulai Chondong.
Manakala empat orang masih di bangku sekolah rendah. Wan Ismail juga mempunyai dua lagi anak hasil perkongsian hidup dengan seorang wanita Kemboja, Siti Aisyah Abdullah.
Namun sekarang sudah berpisah. Kes mereka agak kontroversi sebelum ini. Isteri keduanya sekarang, Siti Madinah Ilyas Khan.


Ketika penulis berkunjung ke rumahnya di Kampung Bechah Keranji, Peringat yang agak besar baru-baru ini, Wan Ismail silih berganti menerima tetamu.
Penulis juga sempat menikmati sarapan pagi di rumahnya. Nurizan menyediakan sarapan pagi sebelum bergegas ke UiTM di Machang.


Tewaskan Duta ke Mesir
Pertama kali turun gelanggang pilihan raya di Dun Melor pada 1999 beliau berjaya menewaskan Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (kini Duta Malaysia di Kaherah).
Namun tewas pada pilihan raya 2004 kepada Azmi Ishak. Dan pada pilihan raya Mac tahun lalu beliau kembali diangkat rakyat di Dun Melor.


Mengambil kira pengalamannya pernah gagal dalam pilihan raya sebelum ini, beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada bersama rakyat. Jadualnya bersama rakyat kini semakin padat.


"Saya dibantu seramai 17 penghulu dalam Dun Melor. Kami sering mengadakan mesyuarat dan perjumpaan dengan warga Melor dan cuba sedaya mungkin menyelesaikan masalah rakyat.
"Kerjasama yang padu daripada penghulu dan ketua cawangan banyak membantu saya sehingga diberi semula kepercayaan rakyat pada pilihan raya umum lalu," katanya.
Kemuncak karier politiknya sebelum ini pernah dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat (1991 � 1995) dan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan (2000 � 2004).


Kedai kopi pejabat bergerak


Bagi Ustaz Wan kedai kopi seperti menjadi pejabat bergerak baginya.
"Sudah menjadi kebiasaan bagi saya kalau berada di kampung akan mendekati rakyat dengan mengadakan lawatan rumah ke rumah atau pun kedai-kedai kopi," ujarnya.


Wan Ismail juga kini sedang menyiapkan sebuah bangunan tiga tingkat di Melor di mana bahagian bawah yang sudah separuh siap dijadikan sebagai Pusat Khidmat Masyarakat.
Selain itu bangunan terbabit juga akan dijadikan sebagai tempat memproses buah-buahan seperti mangga dan celagi untuk menghasilkan jeruk.


Kata beliau pada peringkat pertama Mac depan seramai 10 armalah akan diambil bekerja bagi memberi sumber pendapatan sampingan kepada mereka.


Kompleks pejabat itu dianggarkan melibatkan kos lebih RM300,000. Wan Ismail juga sebelum ini berjaya menyiapkan bangunan bagi PAS kawasan Ketereh yang tersergam indah di pekan Ketereh.


"Saya berhasrat sebelum memejamkan mata bangunan PAS Melor akan dapat disempurnakan bagi kegunaan pendokong gerakan Islam di kawasan ini," katanya.
Sementara itu, bekas Imam Mukim Bukit Marak, Abdul Ghani Ismail, 56 tidak segan datang meminta bantuan daripada Adun terbabit kerana kehidupan agak terdesak setelah lumpuh sebelah tangan dan rabun mata.


Katanya, biar pun tinggal berhampiran dengan rumah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa namun sukar untuk mendapat bantuan bagi mengubat penyakitnya daripada pemimpin terbabit.


Baginya Ustaz Wan tempatnya bergantung harap. Begitu juga bagi penduduk miskin lain di Dun terbabit. - mj _

No comments: