Apr 21, 2009

Ahmad Said Sedia Terima Keputusan Najib Jumaat ini.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, bersedia menerima apa sahaja keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Beliau berkata, apa jua keputusan yang diumumkan pucuk pimpinan berhubung kedudukan beliau kelak, akan diterimanya dengan hati terbuka kerana ia adalah hak Najib sebagai Presiden Umno.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat rumah penduduk kampung yang dilanda ribut di Kampung Penarik, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau bimbang mengenai perkara itu, Ahmad yang memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri pada Mac tahun lalu, berkata: "Risau apa...tidak ada masalah kepada saya."

Beliau bagaimanapun enggan mengulas hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri baru-baru ini, dipercayai berkaitan kemelut politik di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang tidak menghadiri hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada 16 April lalu, Ahmad mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, bagi membincangkan perkara itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, juga kelihatan memasuki Pejabat Perdana Menteri pada hari sama, dipercayai sebagai langkah Najib dan Muhyiddin menyelesaikan pertikaian antara Ahmad dan Adun BN negeri berkenaan.

No comments: