Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang kini berhadapan dengan isu ‘doa sampai pecah perut’ sebagai mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada pemimpin lain.
Harun berkata, keistimewaan Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, jelas berdasarkan sokongan kuat rakyat, lebih-lebih lagi di negeri tersebut.
“Setiap kali Tok Guru adakan majlis, terdapat ramai penyokong. Sebab itulah Pas terus memerintah Kelantan (sejak 1990) hingga kini. Rakyat sentiasa di belakang beliau. Kita harap sokongan akan berterusan,” katanya.
Harun menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai tokoh yang sukar digugat dan ketokohannya itu diharap dapat membuat beliau terus menjadi Menteri Besar.
Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu, mengulas soalan berkaitan bilangan orang di majlis perhimpunan anjuran Pas di Dataran Ilmu, Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin untuk mendengar ucapan Nik Abdul Aziz mengenai isu tersebut.
Perhimpunan itu diadakan empat hari selepas demonstrasi bantahan penyokong UMNO terhadap Nik Abdul Aziz, mendesak beliau meminta maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ‘doa bala’ yang Nik Abdul Aziz cadang diadakan sekiranya Kerajaan Pusat tidak memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu tokoh agama dalam Pas menegur hasrat Nik Abdul Aziz yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam kerana hendak mendoakan orang Islam lain ditimpa musibah, Harun berkata, teguran sentiasa dibuat jika ada tokoh atau ahli parti itu dianggap melakukan perbuatan bercanggah dengan ajaran Islam atau melampaui batas.
“Teguran bukan kepada ahli sahaja, tetapi meliputi pimpinan tertinggi parti, termasuklah Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Kita tidak akan membiarkan perbuatan melampau (sekiranya ada),” katanya.
Bagaimanapun, dalam kes ‘berdoa sampai pecah perut’ Nik Abdul Aziz itu, katanya, teguran tidak perlu kerana beliau tidak bersalah.
“Kita perlu faham sebab beliau hendak berdoa demikian. Beliau tidak akan mendoakan sesuatu tanpa sebab. Hasrat beliau hendak berdoa demikian disebabkan kerana rakyat Kelantan dizalimi Kerajaan Pusat, yang enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, tetapi menggantikannya dengan wang ihsan,” katanya.
Muhyiddin berkata kelmarin, sebagai seorang yang digelar Mursyidul Am dan berpengetahuan luas dalam agama, Nik Abdul Aziz tidak patut bertindak atau berkelakuan yang tidak mencerminkan sifatnya sebagai seorang Islam.
“Adakah wajar orang yang dizalimi ditegur hanya kerana mereka berdoa? Bukankah mereka berhak berdoa atas dasar mahu mendapat kembali hak mereka? Mereka berdoa semata-mata untuk membanteras kezaliman yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN),” katanya.
Harun berkata, tindakan mereka mendapatkan royalti minyak untuk Kelantan diharap dapat mengelak negeri lain hilang hak mereka kepada Kerajaan BN.
Beliau percaya tumpuan yang diberi kepada Kelantan dan cabaran yang dihadapi oleh Pas membuktikan ia sebuah parti yang kuat dan mampu terus memerintah Kelantan.
Sumber : Sinar Harian