Feb 3, 2010

Al - Fatihah Untuk Kak Som

Mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Hajjah Kalthom Othman, 61, kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 1.30 pagi ini di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian setelah diserang ‘massive stroke’.

Beliau diserang angin ahmar di rumahnya pada jam 2.30 petang semalam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini, yang kemudiannya dirujuk ke HUSM.

Allahyarhamuha adalah antara aktivis PAS yang paling bergiat cergas yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan dan pernah menjadi Ketua Muslimat PAS negeri, Tumpat dan Pasir Puteh, sehingga kini masih bertugas sebagai Ketua Halaqat Dun Selinsing.

Jenazah bekas Ahli Dewan Negara dari tahun 1991 hingga 1997 itu akan disemadikan selepas Zohor dan solat jenazah di Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh.

PAS Kelantan menyifatkan kepulangan kerahmatullah bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu sebagai satu kehilangan besar kepada gerakan Islam di negara ini.

Setiausaha Badan Perhubungan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Allahyarham yang dikenali sebagai Kak Som seorang yang istiqomah dalam perjuangan sejak muda lagi.

Katanya, kehilangannya begitu dirasakan sekali terutamanya PAS Kelantan memandangkan Allahyarham seorang yang gigih dan bersemangat kental dalam gerakan dakwah.

“Tentunya pemergiaannya beliau sukar dicari ganti. Allahyarham seorang yang lantang menegakkan kebenaran dan menyebarkan misi dakwah.

“Beliau bermula dalam perjuangan dari bawah sehingga berada di kemuncak sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat,” katanya di sini.

Petang semalam beliau disedari terjatuh di rumahnya sebelum dikejar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan kemudian dirujuk ke HUSM.

Sehubungan itu Mohd Zaki yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan mewakili kerajaan negeri dan PAS Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Anggota parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin berkata, Kak Som seorang yang istiqomah dalam perjuangan tanpa mengira masalah kesihatan yang dihidapinya.

Katanya, biarlah beliau sering keuzuran kebelakangan ini namun tugas menyampaikan dakwah tetap dilakukan.

Pagi tadi jenazahnya diziarahi Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan wakil-wakil rakyat serta pemimpin-pemimpin PAS. Al Fatihah

No comments: