Mar 28, 2010

Awas dengan Pelaburan : 50,000 kena tipu

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 pelabur kerugian lebih RM100 juta kerana menyertai pelaburan penternakan cacing, lintah, sarang burung layang-layang, lembu dan kafe ala kopitiam di seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Menggunakan status syarikat skim berkepentingan, lima syarikat terbabit dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan masing-masing, walaupun berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Mohammad Redzuan Abdullah, berkata dua daripada syarikat itu sudah didakwa dan beberapa lagi akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

Katanya, satu daripada lima syarikat berkenaan, Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan pelabur membabitkan pelaburan RM16 juta.

Baru-baru ini, SSM menyerbu Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd dan Hadhari Agro Holding Sdn Bhd kerana dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur dalam skim ‘Projek Pembangunan Usahawan’. Difahamkan, pelabur skim itu tidak menerima pulangan seperti dijanjikan pengurusan syarikat berkenaan.

Mohammad Redzuan berkata, modus operandi lima syarikat berkenaan ialah menawarkan saham serendah RM1,000 seunit dan menjanjikan pulangan sehingga 10 kali ganda daripada nilai pelaburan, selain insentif lain seperti kupon makanan, pakej pelancongan dan kad diskaun.
Ada syarikat menawarkan pakej pembayaran pelaburan secara ansuran bulanan untuk menarik lebih ramai menyertai skim mereka, malah sesetengah syarikat menggunakan kaedah perniagaan pelbagai peringkat (MLM) dengan pelbagai strategi pemasaran, termasuk menggunakan selebriti dan VIP.

Serentak itu, SSM kini memburu syarikat yang menganjurkan skim pelaburan sedemikian atau menyalahgunakan skim berkepentingan, terutama dalam sektor pertanian dan inovasi baru.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, SSM menerima 90 aduan membabitkan skim pelaburan berkepentingan dan daripada jumlah itu, 60 adalah syarikat yang tidak tahu mereka melanggar peraturan skim berkepentingan serta diberi notis sebelum mematuhi mengikut peraturan ditetapkan SSM.

“Bagaimanapun, kebanyakan daripada 60 syarikat itu mengambil keputusan menutup operasi dan tidak meneruskan skim berkepentingan, sebaliknya meneruskan perniagaan seperti biasa mengikut Akta Syarikat 1965.

“Selain itu, 10 syarikat dikenal pasti degil dan meneruskan skim berkepentingan. Notis sudah dikeluarkan dan ada yang meminta diberi tempoh untuk mematuhi syarat ditetapkan.

“Bagi yang masih ingkar, kita sudah mengumpulkan bukti dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima aduan kes itu, tetapi sukar bertindak kerana kekurangan bukti sebelum menyalurkan maklumat kepada SSM bagi membolehkan tindakan diambil.

Selain polis, SSM bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Bank Negara jika kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit haram atau melanggar peraturan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, ramai pelabur tidak mengetahui skim berkepentingan hanya boleh dijalankan syarikat berstatus berhad (Bhd), bukannya syarikat sendirian berhad (Sdn) atau berstatus syarikat perniagaan tunggal.

“Syarikat yang menganjurkan skim berkenaan perlu mempunyai prospektus, surat ikatan amanah antara pelabur dengan syarikat dan terma serta pemegang amanah syarikat. Jika ketiga-tiga syarat tidak dipenuhi, pelabur tidak wajar menyertai skim kepentingan ini,” katanya.

Beliau mendedahkan kebanyakan syarikat yang menganjurkan skim berkepentingan berdaftar dengan SSM, namun statusnya sebagai syarikat sendirian berhad tidak melayakkannya menganjurkan skim itu.

Justeru, katanya, pengguna perlu menyemak dengan SSM jika ditawarkan mana-mana pelaburan skim berkepentingan untuk mengetahui status syarikat yang menganjurkan skim pelaburan itu.

“SSM memandang berat kes ini kerana mahu melindungi kepentingan pelabur, terutama berpendapatan rendah atau mereka yang melabur menggunakan wang pencen, gratuiti, wang simpanan dan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya.

No comments: