Aug 15, 2010

Kelulusan bukti salah guna kuasa

"Tindakan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional memberikan tanah kepada syarikat yang dimiliki oleh pemimpin mereka untuk dibangunkan adalah salah guna kuasa yang jelas," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Kanan, Datuk Hamidah Osman, semalam yang menjelaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku terhadap kelulusan itu.

Lih Kang berkata, kenyataannya itu tidak bermakna pemaju UMNO tidak boleh mendapat projek, tetapi mereka harus membuktikan syarikat itu adalah syarikat yang mempunyai daya saing dan tidak mendapat projek atas sebab hubungannya dengan UMNO.

Menurutnya, Hamidah mesti menjelaskan kepada rakyat adakah projek itu dibuka secara tender, berapa syarikat yang mengambil bahagian dan kenapa projek diberikan kepada syarikat berkenaan (Safura House of Diamond).

"Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Mejar (B) Roslan Zakaria antara pemegang saham dalam syarikat ini.

“Jika kerajaan gagal membuktikan perkara ini, bermakna satu penyelewengan serius telah berlaku dan Datuk Dr Zambry selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanah harus dipecat dari jawatannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, katanya, kenyataan Hamidah berkenaan 20 penternak ikan hiasan di Gopeng yang telah diberi kebenaran untuk menjalankan kegiatan itu di Lawan Kuda adalah tidak benar sama sekali.

“Tidak ada seorang pun dari 20 penternak itu ditawarkan tanah di Lawan Kuda sebaliknya mereka berusaha memohon mendapatkan hak milik tanah sejak sekian lama tetapi semua permohonan ditolak tanpa sebab,” katanya.

Beliau bagaimanapun kesal dengan tindakan wakil rakyat itu yang dikatakan sanggup berbohong mempertahankan penyelewengan yang dibuat.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak melakukan sesuatu untuk selesaikan masalah ini, kami akan mengambil tindakan mempertahankan hak petani dan penternak ikan hiasan,” katanya.

Terdahulu, Lih Kang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan terhadap 50 ekar tanah di Kampung Sungai Itek, kepada syarikat pemaju itu yang dikatakan wujud salah guna kuasa.

Dengan kelulusan untuk pembangunan projek perkampungan tersusun dan penduduk setinggan di Gopeng itu, maka penternak ikan hiasan yang bertapak sekian lama di tanah yang sama terpaksa berundur.

2 comments:

Nor Shaiful Azam said...

asik tipu rakyat jer...

Nor Shaiful Azam said...

asik nak manipulasi rakyat je la ko ni....