Aug 15, 2010


KUALA TERENGGANU – Keadaan pentas utama dan beberapa khemah peniaga Bazaria Larut Malam KT Uptown yang rosak akibat dipukul ribut pada petang puasa pertama menyebabkan kawasan sekitar itu ibarat padang jarak padang tekukur.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati hampir 90 peratus kerosakan berlaku di pentas utama selain besi khemah tercabut dan berselerakan sehingga menjejaskan perniagaan peniaga di situ.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mat, 20-an, berkata, kejadian itu sememangnya tidak dijangka kerana tiada sebarang tanda menunjukkan ribut akan berlaku.

“Mujur pada hari itu, tiada seorang pun individu tercedera kerana kejadian berlaku terlalu cepat.

“Walaupun kejadian itu sudah berlalu, namun masih belum ada tanda-tanda kerosakan akan dibaiki pihak berkenaan malah ia dibiarkan begitu sahaja sehingga menimbulkan banyak tanda tanya terutama bagi pengunjung yang datang dari jauh,” katanya

Menurutnya, jika kawasan itu tidak diselenggarakan secepat mungkin, dikhuatiri akan berlaku kecurian oleh indi­vidu ti­dak bertanggungjawab yang mungkin akan menjual barang-barang bernilai di kedai kitar semula.

“Oleh itu, diharapkan kerja pembersihan dilakukan segera supaya dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pada waktu malam,” katanya.

Peniaga berdekatan, Roslan Razak, 28, berkata, kejadian ribut pada petang puasa pertama itu adalah di luar jangkaan kerana sebelum itu cuaca agak baik, namun tiba-tiba berlaku angin kencang disusuli hujan.

“Kerosakan teruk yang berlaku mungkin disebabkan ia terletak berdekatan laut dan saya bersyukur kerana ketika itu banyak gerai belum dibuka.
“Jika kejadian ini berlaku pada waktu ma­lam semasa kunjungan orang ramai, ti­dak dapat dibayangkan keadaannya,” katanya.

Menurutnya, bagi menarik semula kunjungan orang ramai ke KT Uptown, diha­rap­kan pihak berkenaan dapat membersihkan semula persekitaran kawasan ini kerana ia adalah destinasi pilihan untuk membeli-belah bersama keluarga.

No comments: