Aug 18, 2010

SPRM OH SPRM OH SPRM ...apa dah jadi ?



KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) mendedahkan maklumat sulit berkaitan kerugian Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bernilai RM8 bilion kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) menyebabkan tiada siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap laporan itu.

Menurutnya, bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli mungkin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau bebas daripada pendakwaan akibat kerugian itu.

“SPRM sepatutnya menyiasat perkara tersebut tetapi telah mendedahkannya kepada JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan rasa cemas kepada individu yang terlibat,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, MAS berasa tindakan SPRM bertentangan dengan peruntukan S:29(4) dan S(65) Akta SPRM 2009.

“PDRM adalah salah satu pihak yang diadu dan tidak sepatutnya menerima butiran aduan MAS di mana mereka berasa ragu dengan SPRM kerana jelas gagal melindungi dokumen penting untuk dirahsiakan dalam melakukan siasatan," katanya.

Menurutnya, ini menyebabkan MAS membuat satu lagi laporan kepada SPRM ke atas bekas pengerusinya itu, dan juga terhadap JSJK serta Jabatan Peguam Negara.

“Saya ingin mendedahkan di sini siapa yang melindungi penjenayah ini, siapa yang melindungi kes ini daripada disiasat dan didakwa kerana ia merupakan kes yang cukup besar.

"SPRM perlu menjawab persoalan ini kerana disifatkan sebagai tindakan yang tidak berintegriti dan membahayakan orang yang membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata, isu kerugian MAS telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid di Parlimen pada 2009 namun masih tiada sebarang jawapan rasmi sehingga kini.

”Saya dapati ada beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mendalam terhadap perkara ini tetapi PAC hanya mendiamkan diri.

“Saya berasa Tajuddin tidak berseorangan dalam perkara ini kerana tidak mungkin seorang sahaja yang buat. Mungkin terdapat satu rangkaian atau konspirasi yang wujud dengan satu skandal besar seperti ini, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak perkara itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“ Saya akan ‘check’(semak) dulu, esok (hari ini) saya akan beritahu,” katanya

1 comment:

JBS said...

Jawapan yang sebenarnya dari Pengarah SPRM, rasanya bukan "saya akan cek dulu", tetapi mungkin begini, "saya akan tanya PM dulu".