Sep 25, 2010

Janji Kosong Pangsapuri Ladang Gemilan 2



Penduduk tuntut janji

LADANG - Penduduk Ladang Tok Pelam dan Ladang Mengabang yang menerima tawaran tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang 2 disebabkan pengambilalihan tanah masih ‘tertanya-tanya’ status rumah yang didiami hari ini.

Sehingga kini, mereka mendakwa Kerajaan Negeri masih lagi tidak memutuskan sama ada rumah itu disediakan untuk disewa semata-mata dalam tempoh tiga tahun ataupun diberikan untuk sewa beli seperti mana yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Wakil penduduk, Ibrahim Awang, 39, mendakwa, pada awalnya, penduduk dimaklumkan bahawa rumah ini hanya untuk disewa sahaja dengan kadar bayaran RM300 sebulan tetapi Menteri Besar (MB) pernah menjanjikan akan memberikan kelonggaran untuk disewa beli sekiranya ada penduduk yang berminat.
“Malah, dalam pertemuan yang dibuat pada 11 Januari awal tahun ini juga, MB pernah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi potongan harga untuk setiap rumah dengan nilai sebuah kereta Proton Saga.

“Sehingga hari ini, kami masih menunggu janji tersebut kerana kami difahamkan pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) masih menegaskan bahawa status rumah ini tidak berubah iaitu diberi kebenaran menyewa sehingga tempoh tiga tahun,” dakwanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ibrahim, selain menagih janji, penghuni di Pangsapuri Ladang Gemilang 2 ini juga turut meluahkan rasa ketidakpuasan hati kerana terpaksa membayar bil air bermula Julai sedangkan mereka mula menghuni rumah tersebut pada 1 Ogos.

“Kami menerima kunci rumah pada hujung Julai dan mula menghuni di sini pada 1 Ogos. Menjadi tanda tanya kami hari ini, mengapa bil air pada Julai terpaksa dibayar sedangkan ketika itu, kami masih lagi tidak menerima kunci rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, isu perjanjian status rumah pernah diajukan di dalam dewan baru-baru ini dan MB bersetuju untuk menukarkan status sewa sahaja kepada sewa beli bagi penduduk yang berminat.

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri mengotakan janji yang ditaburkan kepada penduduk sebelum ini,” katanya.

Tengku Hassan turut menggesa Kerajaan Negeri melunaskan janji mengurangkan harga seunit rumah dengan nilai sebuah kereta Proton Saga seperti mana yang difahamkan telah dijanjikan dalam satu majlis :penjela�san dasar kerajaan mengenai pembangunan semula Kampung Ladang dan Pangsapuri Ladang Gemilang yang diadakan pada 11 Januari di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang.