Apr 28, 2011

MB tak hadiri perhimpunan


ALOR SETAR - “Saya tidak akan hadir ke perhimpunan Melayu Perkasa Kedah kerana ada komitmen lain,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar), ketika ditanya desas-desus mengatakan beliau antara tokoh yang akan memeriahkan perhimpunan itu, selain mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan memberi ucaptama perasmian.

Azizan berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu ada menghantar surat jemputan kepadanya untuk hadir pada perhimpunan itu, namun disebabkan sudah terikat pada komitmen lain, beliau terpaksa menolak jemputan berkenaan.

“Ada hal lain yang tidak dapat saya elakkan, jadi saya tak dapat hadir ke perhimpunan itu,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, terdapat khidmat pesanan ringkas (SMS) tersebar mengatakan Azizan akan hadir ke Perhimpunan Melayu Perkasa, yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Sabtu ini. Malah beberapa blog tempatan turut mengesahkan kehadiran Azizan pada majlis perasmian yang akan berlangsung pada 3 petang itu.

Azizan berkata, pihaknya tidak pasti siapa yang menyebarkan SMS itu dan tujuan ianya disebarkan, namun tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mahu mencetuskan isu membabitkan dirinya dengan pertubuhan itu.

“Saya harap penjelasan ini dapat menepis fitnah yang mendakwa kononnya saya akan hadir bersama Tun Dr Mahathir pada majlis perasmian itu,” katanya.

No comments: